
Kad pengenalan rosak atau cip tidak boleh dibaca? Kini, anda tidak perlu lagi meluangkan masa berjam-jam untuk beratur di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Melalui inisiatif digital kerajaan, cara tukar IC online boleh dilakukan dengan mudah menggunakan aplikasi MyGOV.
Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan urusan harian anda tanpa perlu mengisi borang fizikal yang renyah. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi tunggal ini untuk mengakses ratusan perkhidmatan agensi sektor awam Malaysia. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara tukar IC secara online melalui MyGoV.
Syarat Kelayakan Tukar IC Online Melalui MyGOV
Walaupun proses permohonan digital ini sangat praktikal, pertukaran MyKad secara dalam talian tertakluk kepada syarat-syarat ketat berikut:
- Kategori Kes Dibenarkan: Hanya terhad kepada gantian biasa, kerosakan fizikal kad (retak/patah), kerosakan cip, dan kes kehilangan kali pertama akibat kecuaian. Kes hilang kali kedua dan seterusnya wajib ke kaunter.
- Tiada Perubahan Data: Anda tidak boleh mengemas kini alamat baharu atau menukar gambar. Sistem akan menggunakan semula data lama anda secara automatik.
- Had Umur Pemohon: Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas.
- Waktu Operasi Sistem: Transaksi online hanya dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8:00 pagi hingga 4:30 petang (tidak termasuk cuti umum).
- Pengesahan MyDigitalID: Akaun aplikasi MyGOV anda wajib disahkan terlebih dahulu melalui sistem MyDigitalID.

Langkah Mudah Mohon Gantian MyKad Secara Digital
Ikuti 5 langkah ringkas ini untuk memulakan permohonan penggantian kad pengenalan anda:
- Muat Turun Aplikasi: Dapatkan aplikasi MyGOV Malaysia secara percuma menerusi Google Play Store atau Apple App Store.
- Log Masuk: Daftar dan log masuk ke akaun pengguna anda.
- Pilih Menu: Klik pada bahagian 'Kelahiran & Pengenalan Diri' dan pilih sub-menu 'Penggantian MyKad'.
- Isi Maklumat: Lengkapkan butiran permohonan dengan teliti serta muat naik dokumen sokongan sekiranya diminta oleh sistem.
- Hantar & Bayar: Lakukan bayaran secara digital mengikut arahan yang dipaparkan untuk melengkapkan transaksi.

Langkah-Langkah Penggantian MyKad
1. Muat turun atau kemas kini aplikasi MyGOV di telefon pintar anda.
2. Log masuk ke dalam akaun MyGOV anda yang telah didaftarkan.
3. Pilih menu perkhidmatan "Kelahiran & Pengenalan Diri (Penggantian MyKad)".
4. Isi maklumat yang diperlukan serta muat naik dokumen sokongan sekiranya diminta.
5. Hantar permohonan tersebut dan tunggu proses pengesahan selanjutnya
Urusan Pengambilan MyKad Fizikal di JPN
Harus diingat bahawa aplikasi MyGOV berfungsi untuk menguruskan proses permohonan dan pembayaran sahaja. Bagi urusan pengambilan kad fizikal, pemohon wajib hadir sendiri ke kaunter cawangan JPN yang dipilih.
Kehadiran wakil adalah tidak dibenarkan sama sekali kerana sistem memerlukan pengesahan cap jari pemohon sebelum IC baharu diserahkan demi faktor keselamatan.
Tempoh siap kad bergantung kepada lokasi kaunter. Penggantian di Ibu Pejabat JPN Negeri atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) boleh disiapkan seawal 30 minit selepas kelulusan. Manakala bagi cawangan-cawangan kecil yang lain, prosesnya mengambil masa antara 5 hingga 7 hari bekerja. Anda dinasihatkan menyemak status kad di Portal Rasmi JPN sebelum hadir menuntut IC baharu anda.