
Biskut Almond London adalah antara kuih tradisional yang menjadi kegemaran ramai setiap kali menjelang Hari Raya. Teksturnya yang rangup di luar dan lembut di dalam, dipadankan dengan aroma harum badam, menjadikan biskut ini sempurna untuk dihidangkan kepada tetamu atau sebagai juadah untuk keluarga.
Setiap gigitan membawa nostalgia suasana Hari Raya di mana meja hidangan dipenuhi pelbagai kuih-muih istimewa. Dengan warna coklat yang menarik dan hiasan manik atau badam cincang, biskut ini bukan sahaja sedap tetapi juga cantik dipandang, sesuai dijadikan hadiah raya dalam balang atau untuk dimakan bersama secawan teh.
Resepi ini mudah diikuti, menggunakan bahan yang ringkas tetapi menghasilkan biskut yang premium dan enak, menjadikannya pilihan tepat untuk menyambut Syawal dengan penuh kemeriahan.
Resepi Biskut Almond London (Sukatan Cawan)
Resepi turun-temurun ini telah digunakan bertahun-tahun lamanya. Antara bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut.
Bahan-bahan:
- 1 buku butter (250 gm)
- 1 cawan gula halus
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan tepung jagung
- 2 cawan tepung gandum
- ½ cawan badam kisar (boleh guna badam nib, bakar hingga perang, sejukkan & kisar, atau serbuk badam)
- 1 sudu teh emplex
- 150 biji badam (bakar 10 minit)
Bahan tambahan:
- Paper cup hitam
- Coklat masakan
- Pencair coklat (cocoa butter) – teksturnya seperti lilin
Hiasan:
- Badam cincang / coklat urai / gula manik
Cara Penyediaan
- Pukul butter dan gula halus menggunakan senduk kayu sehingga sebati.
- Masukkan tepung jagung, tepung beras, tepung gandum, emplex, dan badam kisar. Gaul sehingga menjadi doh.
- Bentukkan doh kecil-kecil, kemudian letakkan 1 biji badam di tengah setiap doh.
- Bakar pada suhu 160°C selama 15 minit (ikut oven masing-masing).
- Setelah sejuk, celup biskut dalam coklat yang telah dicairkan, kemudian masukkan ke dalam paper cup hitam.
- Hias atas biskut menggunakan badam cincang, coklat urai, atau gula manik.
- Masukkan sekejap ke dalam peti sejuk supaya coklat cepat mengeras.
- Biskut sedia untuk dimasukkan ke dalam balang atau dihidangkan.
Nota Penting
Cairkan coklat menggunakan kaedah double boil dan tambah sedikit pencair coklat supaya:
- Coklat tidak terlalu melekat pada biskut
- Permukaan coklat menjadi lebih licin
- Disarankan menggunakan paper cup hitam supaya kesan comot coklat tidak kelihatan
Selamat mencuba.
Kredit: Owner Resepi
