Return to site

Menu Viral! Aneka Resepi Kerabu Segar dan Menyelerakan

MENU VIRAL

· MENU VIRAL
Aneka Resepi Kerabu Segar dan Menyelerakan

Kerabu merupakan salah satu hidangan tradisional Melayu yang segar, menyelerakan dan penuh dengan perisa asli. Ia terkenal dengan gabungan rasa masam, manis, pedas dan sedikit lemak santan yang menjadikannya sajian yang sempurna untuk pelbagai majlis — daripada makan seharian hingga ke kenduri atau jamuan khas.

Dalam blog ini, kami kongsikan beberapa resepi kerabu yang popular dan mudah disediakan di rumah, termasuk kerabu pucuk paku kampung yang rangup dan wangi, kerabu udang ala Thai yang pedas dan masam menyengat, kerabu perut yang berperisa dan unik, serta kerabu nangka muda stail kenduri Kedah yang kaya dengan aroma bahan tumbuk.

Dengan panduan yang mudah diikuti, anda boleh menikmati kerabu yang segar dan sedap tanpa perlu keluar rumah atau menunggu majlis istimewa. Sama ada untuk dijadikan hidangan sampingan, pembuka selera atau santapan keluarga, koleksi resepi kerabu ini pasti memikat selera semua peringkat umur.

Resepi Kerabu Pucuk Paku Kampung

Bahan-bahan

  • 2 ikat pucuk paku
  • 1 biji kelapa, bahagikan dua:
  1. Separuh untuk digoreng
  2. Separuh lagi ambil santan
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 3 ekor ikan selayang, rebus
  • 1/2 sudu makan garam
  • 1 1/2 sudu makan gula
  • Sedikit air untuk merebus pucuk paku

Cara Penyediaan

  1. Rebus pucuk paku:
  2. Panaskan air hingga mendidih.
  3. Masukkan pucuk paku, kacau sehingga warnanya bertukar, kemudian toskan.
  4. Sediakan kelapa, bahagikan kelapa kepada dua bahagian: Separuh 1: blend dengan segelas air masak menjadi santan. Separuh 2: goreng tanpa minyak sehingga kekuningan dan rangup. (Tips: bila pegang ia rasa rangup dan mudah dihancurkan.)
  5. Tumbuk bahan: Tumbuk lada hitam, bawang merah, dan isi ikan selayang rebus sehingga sebati. Ketepikan.
  6. Gaul bahan kerabu: Masukkan kelapa goreng ke dalam mangkuk dan gaulkan bersama bahan yang ditumbuk.
  7. Tambahkan garam dan gula mengikut rasa.
  8. Masukkan pucuk paku & santan, gaul pucuk paku bersama campuran kerabu.
  9. Masukkan santan secukupnya, jangan terlalu banyak; cukup untuk membuat kerabu sedikit basah.
  10. Siap untuk dihidang!

Oleh: Bahiah Sarifuddin

Section image

Resepi Kerabu Udang Ala Thai

Bahan-bahan

  • Udang, dibuang kulit
  • Cili merah dan cili hijau
  • Bawang putih
  • Sos ikan
  • Jus limau nipis
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Serai, dihiris halus
  • Bawang besar, dihiris
  • Tomato, dihiris
  • Lobak, dihiris
  • Daun sup
  • Pucuk kacang / kacang buncis / kacang panjang / kacang botol

Cara Penyediaan

  1. Buang kulit udang, kemudian rebus sehingga masak dan toskan.
  2. Kisar atau tumbuk kasar cili merah, cili hijau, dan bawang putih.
  3. Gaul semua bahan: udang, bahan kisar, serai, bawang besar, tomato, carrot, daun sup, dan pucuk kacang.
  4. Tambahkan sos ikan, jus limau nipis, gula dan garam secukup rasa. Gaul rata.
  5. Siap untuk dihidangkan.
Section image

Resepi Kerabu Perut

Bahan-bahan

  • Perut, direbus sehingga empuk
  • Asam jawa, diperah airnya
  • Bawang besar, dihiris bulat
  • Tomato, dicincang halus
  • Sedikit kerisik
  • Sedikit belacan
  • Gula secukupnya
  • Garam secukupnya

Cara Penyediaan

  1. Rebus perut sehingga empuk dan ketepikan.
  2. Gaul atau ramas air perahan asam jawa bersama bawang besar, tomato, kerisik, belacan, gula dan garam.
  3. Masukkan perut yang telah direbus, gaul sehingga sebati dengan bahan lain.
  4. Sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Nuraini Abdullah

Section image

Resepi Kerabu Nangka Muda (Style Kenduri Kedah)

Bahan-bahan

Isi Nangka:

  • 1 kg isi nangka muda, dipotong-potong, dibasuh bersih dan direbus sehingga masak

Bahan ditumbuk:

  • 3 biji cili besar merah
  • 15 biji cili api (ikut tahap kepedasan yang disukai)
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci halia
  • 5 batang serai (ambil bahagian lembut sahaja)
  • 1 inci belacan, dibakar
  • Segenggam ikan bilis, dibasuh bersih

Bahan lain:

  • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 2 biji limau nipis (ikut masam yang disukai)
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam
  • Pati ikan bilis (ikut selera)
  • 1 biji kelapa parut, diblend dengan sedikit air menjadi santan (sekejap sahaja)

Cara Penyediaan

  1. Rebus nangka muda sehingga masak. Leraikan isi nangka supaya lebih halus.
  2. Tumbuk semua bahan tumbuk hingga lumat.
  3. Campurkan nangka muda dengan bahan tumbuk dan semua bahan lain.
  4. Tambahkan pati ikan bilis dan santan kelapa.
  5. Perasakan dengan limau nipis, gula dan garam mengikut citarasa. Sesuaikan rasa, jika kurang masam atau manis, boleh tambah lagi.
  6. Gaul rata dan sedia untuk dihidangkan.
Section image

Oleh: Rosma Ros

Selamat Mencuba!