Return to site

Biodata Imam Al-Ghazali: Tokoh Ilmuwan Agung dalam Sejarah Islam

kasturihijau.com

· AGAMA
Biodata Imam Al-Ghazali: Tokoh Ilmuwan Agung dalam Sejarah Islam

Imam Al-Ghazali merupakan salah seorang tokoh agung dalam sejarah pemikiran Islam yang namanya terus harum hingga ke hari ini. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulama besar, tetapi juga sebagai ahli falsafah, ahli tasawuf, ahli ilmu kalam, dan cendekiawan yang memberikan sumbangan besar dalam pelbagai bidang ilmu. Kehebatannya terserlah bukan sahaja melalui hujah-hujah ilmiahnya, tetapi juga melalui karya-karya penulisan yang terus dijadikan rujukan di seluruh dunia.

Dilahirkan pada tahun 450 Hijrah (1058 Masihi) di kota Tus, Khurasan (kini Iran), Al-Ghazali menempuh perjalanan ilmu yang luar biasa dan melibatkan dirinya dalam dunia keilmuan sejak usia muda. Sepanjang hayatnya, beliau menghasilkan ratusan karya yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan, termasuk akidah, fiqh, etika, pendidikan dan pemikiran falsafah. Ketokohan dan keilmuannya diiktiraf bukan sahaja oleh para ulama Islam, malah turut mendapat perhatian sarjana Barat. Artikel ini akan menghuraikan latar belakang Imam Al-Ghazali, perjalanan ilmunya, sumbangan besar beliau dalam bidang penulisan, serta pengaruh dan pujian para ulama terhadap dirinya.

Latar Belakang Imam Al-Ghazali

Nama sebenar Imam Al-Ghazali ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Al-Tusi. Beliau lebih dikenali sebagai Al-Ghazali, iaitu merujuk kepada nama kampung kelahirannya, Ghazalah, yang terletak di pinggir bandar Tusi dalam wilayah Khurasan, Parsi (kini Iran). Nama ini juga berkait dengan pekerjaan bapanya sebagai penenun kain bulu, yang dalam bahasa Arab disebut al-Ghazzal.

Beliau turut dikenali dengan gelaran Abu Hamid, yang bermaksud "bapa kepada Hamid", nama anaknya. Selain itu, beliau diberi gelaran kehormatan Hujjatul Islam, kerana kepakarannya dalam berhujah mempertahankan ajaran Islam.

Pendidikan dan Kehidupan Awal

Imam Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi. Bapanya adalah seorang yang miskin tetapi soleh. Beliau menampung hidup dengan menenun kain bulu dan menjualnya di pasar Tusi. Walaupun hidup susah, bapanya sangat mencintai ilmu agama dan gemar bergaul dengan para ulama sufi.

Sebelum meninggal dunia, bapanya sempat menyerahkan sedikit wang dan mewasiatkan pendidikan anak-anaknya, iaitu Al-Ghazali dan saudaranya Ahmad, kepada seorang sahabatnya yang juga seorang guru dan ahli tasawuf. Sahabat ini membesarkan dan mengajar mereka menulis hingga wang peninggalan habis. Kemudian beliau menasihati dua beradik itu supaya meneruskan pembelajaran di sekolah yang dibina oleh Perdana Menteri Nizam di Tusi.

broken image

Pengajian Lanjutan

Pada tahun 469 Hijrah, Al-Ghazali melanjutkan pelajaran ke Jurjan dan berguru dengan Abu Nasr Al-Ismaili. Di sana juga beliau berkahwin, sebelum pulang ke Tusi selama tiga tahun. Dalam tempoh itu, beliau mendalami ilmu tasawuf daripada seorang sufi terkenal bernama Yusuf Annasaj.

Kemudian, pada tahun 471 Hijrah, beliau menyambung pelajaran di sekolah tinggi Nizamiyyah di Naisabur, berguru dengan tokoh besar, Imam Haramain (Abu Al-Ma'ali Diyaauddin Al-Juwaini). Di sinilah beliau mempelajari pelbagai cabang ilmu, termasuk feqah, ilmu kalam, falsafah, mantik, dan sebagainya. Beliau juga memahami pelbagai mazhab dan pandangan, serta mampu menolak ajaran yang dianggap menyeleweng. Malah, beliau berjaya menyamai keilmuan gurunya.

Karya dan Penulisan Imam Al-Ghazali

Sepanjang hayatnya, Imam Al-Ghazali telah menghasilkan banyak karya dalam pelbagai bidang ilmu seperti falsafah, ilmu kalam, tasawuf, usul al-fiqh dan sebagainya. Sebilangan sarjana menyatakan jumlah karya beliau mencecah 400 buah, namun terdapat pendapat lain yang lebih konservatif. Sulayman Dunya dalam Muqadimah Fadhilah (kata pengantar kitab Faysal al-Tafriqat) hanya mencatat 56 buah karya. Sementara itu, Dr. Badawi Tabādanah dalam pengantar kitab Ihyā’ Ulūm al-Dīn menyebut 62 buah karya. Ada kemungkinan sebahagian besar karya lain telah hilang atau dimusnahkan, antaranya mungkin dibuang ke Sungai Tikrit ketika serangan Mongol ke atas dunia Islam pada abad ke-13 Masihi. Antara buku-buku terkenal beliau ialah:

  • Ihya’ Ulum al-Din – karya agung yang membahaskan aspek kerohanian dan amalan harian dalam Islam.
  • Bidayah al-Hidayah – panduan permulaan ke arah hidup beragama.
  • Mizan al-A’mal – perbincangan tentang neraca amal dan nilai perbuatan manusia.
  • Minhaj al-‘Abidin – panduan untuk para ahli ibadah menuju Allah.
  • Al-Mustasfa min Usul al-Fiqh – karya penting dalam bidang usul fiqh.
  • Al-Iqtisad fi al-I’tiqad – perbahasan tentang akidah dengan pendekatan sederhana.

Selain itu, banyak lagi karya beliau dalam bidang tasawuf, falsafah, fiqh, dan akidah yang memberi pengaruh besar kepada dunia Islam.

broken image

Pujian Ulama terhadap Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali mula dikenali sebagai seorang ulama, guru, dan pemidato yang hebat. Kuliahnya sangat menarik hingga menarik ratusan pelajar dan tokoh-tokoh terkemuka. Beliau dihormati kerana keluasan ilmu dan keupayaannya menyampaikan ilmu dengan berkesan. Imam Al-Ghazali dihormati dan dipuji oleh ramai ulama sepanjang zaman. Antara kata-kata pujian yang masyhur ialah:

  1. Al-Yafi’i berkata:
    Jika ada nabi selepas Nabi Muhammad SAW, nescaya orang itu ialah Al-Ghazali.”
  2. Imam Nawawi menyatakan:
    Hampir-hampir kitab Ihya’ Ulum al-Din mengambil tempat al-Qur’an.”
    (Maksudnya dari sudut pengaruh dan rujukan dalam masyarakat Islam)
  3. Al-Subki berkata:
    Aku tidak tahu ada orang selepas Al-Ghazali yang setanding dengannya, terutama dari segi keluasan ilmu. Tidak akan ada yang sepertinya lagi.”
  4. Buya Hamka, seorang tokoh Nusantara, pula menyebut:
    Yang lebih penting lagi, sebagai seorang ahli fikir yang bebas dan besar, beliau membebaskan fikirannya daripada pengaruh penafsir-penafsir terdahulu.”

Tarikh Kewafatan Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali kembali ke rahmatullah di tempat kelahirannya, Tusi, pada hari Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah bersamaan 19 Disember 1111 Masihi.

Rujukan:

  1. Abd al-Rahman al-Badawi (1977), Muallāfat al-Ghazāli, c. 2. Kuwait: Wa Kalah al-Matbu‘at.
  2. al-Ghazāli (1997), Penyelamat Dari Kesesatan. Abdulfatah Haron Ibrahim (terj.), c. 2. Kuala Lumpur
  3. Encyclopedia Britannica, j. 10. USA: RR, Donelly & Sons Co., Entri “al-Ghazali”.
  4. Ibn al-‘Arabi, Abu Bakr ibn al-‘Arabi (1951), ‘Awasim min al-Qawasim. Muhibb al-Din al-Khatib (ed.). Kaherah: al-Matba‘ah al-Salafiyyah.
  5. Margaret Smith (1983), The Mystic, A Study of Life and Personality of Abu Hamid Muhammad al-Tusi al-Ghazāli, Together With an Accunt of His Mystical Teaching and an Estimate of His Place in The History of Islamic Mysticism. Lahore: Hijra Publisher International.
  6. Mohd Fauzi Hamat (2005), Ketokohan al-Ghazzali Dalam Bidang Logik. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
  7. Mustafa Abu-Sway (1996), al-Ghazzāliy: A Study in Islamic Epistemology. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  8. Osman Bakar (1992), The Classification of Knowledge in Islam. Kuala Lumpur: Institute for Policy Research.
  9. Sidik Hj Baba (1988), “Riwayat Hidup Imam al-Ghazāli”, dalam Seminar Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya. Anjuran Akademi Islam, Universiti Malaya dan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Pada 23-25 September 1988M./12-14 Safar 1409H..
  10. Sulayman Dunya (Dr.) (1965), al-Haqiqah fi Nazr al-Ghazali. Kaherah: Dar al-Ma‘arif
  11. Tāj al-Din Abi Nasr ‘Abd al-Wahhāb bin ‘Ali bin ‘Abd al-Kafi al-Subki (1968M./1388H.), Tabaqāt al-Shāfi‘iyyāh al-Kubrā, j. 6, Kaherah: ‘Isā al-Bābi al-Halabi Wa Syirkāh.
  12. Taqi al-Din Abi Bakr bin Ahmad Ibn. Qadi Shuhbah al-Asadi al-Dimashqi Ibn Qadi Shuhbah (t.t), Tabaqāt al-Fuqahā’ al-Shāfi‘iyyāh. ‘Ali Muhammad ‘Umar (Dr.) (tahqiq), j. 1. Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah
  13. W. Montgomery Watt (1963), Muslim Intellectual: A Study of al-Ghazāli. Edinburgh: University Press.
  14. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1870-al-kafi-li-al-fatawi-siri-435-siapakah-imam-al-ghazali
  15. https://theinspirasi.my/biografi-imam-al-ghazali/