
Kebakaran boleh berlaku tanpa diduga di rumah, di tempat kerja atau di kawasan awam. Dalam situasi genting ini, tindakan pantas dan tepat amat penting untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar atau kehilangan nyawa. Salah satu alat keselamatan yang paling asas tetapi sering diabaikan penggunaannya ialah alat pemadam api. Ramai yang tahu kewujudannya, namun tidak ramai yang benar-benar tahu cara menggunakannya dengan betul dan berkesan.
Penggunaan alat pemadam api bukan sekadar menarik picu dan menyembur ke arah api. Terdapat teknik tertentu yang perlu diikuti, termasuk formula P.A.S.S. yang merangkumi empat langkah utama iaitu Pull, Aim, Squeeze dan Sweep. Selain itu, beberapa langkah keselamatan tambahan juga perlu dipatuhi untuk memastikan api dipadam sepenuhnya tanpa membahayakan diri sendiri atau orang lain. Artikel ini akan menerangkan secara terperinci cara menggunakan alat pemadam api dan langkah keselamatan yang wajar diambil ketika berdepan kebakaran kecil.
Konsep Pemadaman Kebakaran yang Ramai Tidak Tahu
Kebakaran merupakan salah satu bencana yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan membawa kesan yang amat dahsyat, termasuk kehilangan nyawa, kecederaan, dan kerosakan harta benda. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat pelbagai teknik pemadaman kebakaran yang sebenarnya telah dirangka secara saintifik dan praktikal oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Memahami teknik-teknik ini bukan sahaja penting untuk anggota bomba, tetapi juga berguna untuk orang awam sebagai langkah awal keselamatan.
1. Konsep Asas Pemadaman Kebakaran
Untuk memahami teknik pemadaman, kita perlu mengetahui punca utama berlakunya kebakaran. Api terhasil daripada tiga unsur penting iaitu haba, bahan api, dan oksigen. Ini dikenali sebagai Segitiga Api. Tanpa salah satu daripada tiga unsur ini, api tidak dapat dinyalakan atau dikekalkan. Oleh itu, semua teknik pemadaman kebakaran bertujuan untuk menghapuskan atau mengganggu salah satu unsur tersebut.

2. Teknik Melaparkan (Starvation)
Teknik ini melibatkan penghapusan bahan api, iaitu unsur yang membakar. Ramai yang tidak tahu bahawa antara cara efektif memadam api ialah dengan memisahkan bahan mudah terbakar daripada kawasan kebakaran. Contohnya, dalam kes kebakaran di kawasan dapur, memindahkan tong gas yang belum terbakar dari kawasan api boleh mengelakkan letupan. Dalam kes kebakaran belukar, pemadaman dilakukan dengan memecahkan bahan api kepada serpihan lebih kecil menggunakan pemukul api atau fire beater bagi mengurangkan penyebaran api. Kaedah ini sangat berkesan dalam kebakaran terbuka yang melibatkan bahan pepejal seperti kayu, daun, atau kertas.
3. Teknik Melemaskan (Smothering)
Ramai tidak menyangka bahawa api juga boleh dipadam dengan cara ‘melemaskannya’. Teknik ini berfungsi dengan menghalang oksigen daripada sampai ke punca api. Contoh klasik ialah menutup api kecil menggunakan kain basah atau guni, yang menghentikan kemasukan udara. Dalam kebakaran minyak, alat pemadam jenis buih digunakan kerana buih akan membentuk lapisan di atas permukaan bahan terbakar dan menghalang oksigen daripada terus menyokong pembakaran.
Selain itu, penggunaan serbuk kering (dry powder) juga termasuk dalam teknik ini. Serbuk tersebut bukan sahaja menutup sumber api daripada oksigen, malah membantu menyerap haba api. Kaedah ini juga melibatkan tindakan menutup ruang kebakaran seperti menutup pintu dan tingkap agar oksigen tidak masuk. Dalam kes tertentu, teknik lebih ekstrem seperti meletupkan tangki yang terbakar secara terkawal juga digunakan untuk memutuskan kebakaran secara serta-merta.
4. Teknik Menyejukkan (Cooling)
Teknik ini pula bertujuan untuk menyerap haba daripada kawasan kebakaran supaya bahan api tidak dapat mencapai suhu takat nyala atau takat sambaran. Secara praktikal, ini dilakukan dengan menyembur air ke kawasan kebakaran. Air menyerap haba dengan cepat dan menyejukkan bahan api, lalu mengurangkan penghasilan wap atau gas mudah terbakar. Ini adalah antara teknik yang paling biasa digunakan oleh pasukan bomba dalam pelbagai situasi kebakaran.
5. Gangguan Tindak Balas Berantai
Satu lagi teknik yang kurang diketahui orang awam ialah dengan mengganggu tindak balas berantai kimia dalam kebakaran. Kebakaran melibatkan pembentukan radikal bebas yang sangat reaktif. Dengan menggunakan bahan khas seperti gas halon, tindak balas ini dapat dihentikan kerana gas halon menukarkan radikal bebas kepada gas yang tidak aktif (gas lengai), seterusnya menyebabkan api padam dengan cepat. Walaupun sangat efektif, penggunaan gas halon kini dikawal kerana kesannya terhadap alam sekitar.
CARA PENGGUNAAN ALAT PEMADAM API
Untuk menggunakan alat pemadam api dengan betul dan berkesan, ingat formula P.A.S.S.:
P – PULL
Cabutkan pin keselamatan pada alat pemadam api.
A – AIM
Halakan nozel ke pangkal api, bukan ke nyalaan.
S – SQUEEZE
Tekan tuil (lever) untuk mengeluarkan bahan pemadam.
S – SWEEP
Layangkan nozel dari kiri ke kanan sehingga api padam sepenuhnya.

Langkah Tambahan Keselamatan Semasa Menggunakan Alat Pemadam Api
- Berdiri mengikut arah angin – untuk mengelakkan asap dan bahan kimia mengenai muka anda.
- Pancutkan bahan pemadam ke arah punca api, bukan ke nyalaan semata-mata.
- Gerakkan pancutan secara menyeluruh pada kawasan terbakar untuk memastikan api padam sepenuhnya.
- Gunakan lebih daripada satu alat pemadam api serentak jika api semakin membesar.
- Pastikan api benar-benar padam sebelum meninggalkan tempat kejadian.
- Hantar alat pemadam api untuk diselenggara dan diisi semula selepas digunakan.

Mengetahui teknik pemadaman kebakaran bukan sahaja penting untuk keselamatan diri, tetapi juga membantu kita bertindak lebih bijak dan tenang sekiranya berlaku kecemasan. Setiap teknik mempunyai situasi penggunaannya yang tersendiri, dan menggunakan kaedah yang salah boleh memburukkan keadaan. Oleh itu, pengetahuan asas ini wajar dikongsi dan dipraktikkan, bukan sahaja oleh anggota bomba, malah oleh semua lapisan masyarakat..
Sumber dan Kredit: https://www.bomba.gov.my/