
Peningkatan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia pada tahun 2025 amat membimbangkan, dengan lonjakan ketara berbanding tahun sebelumnya. Statistik Terkini HFMD di Malaysia, sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 (berakhir pada 26 April 2025), sebanyak 99,601 kes HFMD telah dilaporkan di seluruh negara. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 266% berbanding 27,236 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2025). Daripada jumlah tersebut, 10,421 kes (10%) berkaitan dengan wabak, manakala 89,180 kes (90%) berlaku secara sporadik.
Negeri-negeri dengan Kes Tertinggi HFMD
Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi:
- Selangor: 27,118 kes (27.2%)
- Johor: 9,864 kes (9.9%)
- Perak: 9,347 kes (9.4%)
- Kelantan: 7,147 kes (7.2%)
- Kuala Lumpur & Putrajaya: 6,850 kes (6.9%)
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 39,233 kes sehingga Minggu Epidemiologi ke-19 (berakhir pada 10 Mei 2025). Sebanyak 2,649 wabak telah dilaporkan, meningkat 49% berbanding 1,339 wabak dalam tempoh yang sama tahun lalu. Wabak-wabak ini berlaku di taska; 578 wabak, tadika; 480 wabak, Tabika; 292 wabak, dan Prasekolah; 251 wabak. Sebanyak 38,285 premis telah diperiksa, dan 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Selain itu, 430 premis ditutup secara sukarela .

Apa Itu HFMD?
HFMD ialah penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, disebabkan oleh virus seperti coxsackievirus A16 dan enterovirus 71. Ia mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu yang dijangkiti, seperti air liur, hingus, najis atau cecair daripada peluh. Virus ini boleh merebak apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang telah tercemar akibat batuk, bersin, atau air liur pesakit.
Berapa Lama HFMD Berjangkit?
HFMD boleh berjangkit sejak tempoh pengeraman virus (sekitar tiga hingga enam hari sebelum gejala muncul) dan boleh terus menular selama beberapa hari atau minggu selepas gejala reda. Ketika bintil masih berisi cecair, virus boleh tersebar dengan mudah.
Gejala-Gejala HFMD
Tanda awal HFMD termasuk:
- Demam ringan hingga tinggi (sekitar 37.2–38.9°C)
- Sakit tekak
- Hilang selera makan
- Letih dan kurang bertenaga
Selepas satu atau dua hari, ulser yang menyakitkan akan muncul dalam mulut, di lidah, lelangit, dan pipi bahagian dalam. Dalam masa yang sama, ruam merah atau lepuh kecil berisi cecair akan muncul di tangan, tapak kaki, dan kadangkala di kawasan lampin.
Bintik-bintik di mulut sering menyebabkan kanak-kanak enggan makan atau minum, yang boleh membawa kepada dehidrasi jika tidak ditangani segera.
Cara Diagnosis
HFMD biasanya didiagnosis oleh doktor berdasarkan ciri-ciri bintik yang unik pada tangan, kaki dan mulut, serta gejala umum yang dialami oleh kanak-kanak. Ujian makmal jarang diperlukan kecuali bagi kes yang serius.

Rawatan HFMD
Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan HFMD. Rawatan adalah berdasarkan gejala:
- Paracetamol boleh diberikan untuk mengurangkan demam dan kesakitan.
- Semburan tekak atau gel oral boleh membantu melegakan ulser mulut.
- Galakkan kanak-kanak minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. Ais ketul atau ais krim boleh membantu jika air biasa menyakitkan.
Langkah Pencegahan
Untuk mencegah HFMD daripada merebak:
- Basuh tangan dengan sabun secara kerap, terutamanya selepas menukar lampin atau ke tandas.
- Gunakan tisu untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk, dan buang tisu dengan segera.
- Elakkan berkongsi barangan peribadi seperti tuala, cawan atau alat mainan.
- Basuh pakaian dan cadar yang tercemar dengan air panas.
Kanak-kanak yang dijangkiti perlu direhatkan di rumah sehingga mereka sembuh sepenuhnya. Mereka boleh kembali ke sekolah atau taska sebaik sahaja mereka sihat, tanpa perlu menunggu semua lepuh sembuh.

HFMD Semasa Hamil
Wanita hamil biasanya tidak berisiko tinggi, namun mereka harus berhati-hati:
- Demam tinggi dalam trimester pertama boleh meningkatkan risiko keguguran (jarang berlaku).
- Jika dijangkiti sebelum melahirkan, bayi mungkin mendapat bentuk ringan penyakit ini.
Elakkan kontak rapat dengan individu yang dijangkiti dan dapatkan nasihat doktor jika terdedah kepada HFMD.
Kesimpulan
HFMD ialah penyakit berjangkit yang mudah merebak terutama dalam kalangan kanak-kanak. Walaupun ia biasanya tidak serius, langkah pencegahan yang rapi amat penting untuk melindungi anak-anak dan masyarakat. Ibu bapa dan penjaga harus peka terhadap tanda-tanda awal, menjaga kebersihan, dan bertindak segera sekiranya anak menunjukkan gejala HFMD.
Sumber:
- https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/193
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-hfmd-di-seluruh-negara-meningkat-266-peratus-kkm-520428
- https://story.motherhood.com.my/blog/hand-foot-and-mouth-disease/
- https://gleneagles.com.my/penang/articles/what-all-parents-need-to-know-about-hand-foot-mouth-disease-(hfmd)-in-malaysia