Return to site

Penurunan Kadar Kesuburan di Malaysia dan 10 Tanda-tanda Awal Kemandulan

ISU KESIHATAN

· KESIHATAN
Penurunan Kadar Kesuburan di Malaysia dan 10 Tanda-tanda Awal Kemandulan

Pada tahun 2025, isu penyusutan populasi (depopulation) dan perubahan struktur demografi menjadi topik penting dalam perbincangan ekonomi global. Malaysia turut tidak terkecuali menghadapi cabaran ini. Data menunjukkan bahawa kadar kesuburan keseluruhan (Total Fertility Rate, TFR) di Malaysia telah menurun kepada 1.7 kelahiran bagi setiap wanita pada tahun 2020, iaitu kadar paling rendah dalam tempoh lebih 40 tahun. Kadar ini juga berada di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita, yang diperlukan untuk mengekalkan jumlah penduduk sesebuah negara dalam jangka panjang.

Statistik kelahiran bagi suku pertama tahun 2024 juga menunjukkan bahawa wanita berumur 30 hingga 39 tahun mencatatkan jumlah kelahiran hidup tertinggi, iaitu sebanyak 55,864 kelahiran atau 52.5% daripada keseluruhan, manakala wanita berumur 40 tahun ke atas mencatatkan 6,383 kelahiran (6.0%). Ini menunjukkan perubahan pola umur ibu bersalin ke arah usia yang lebih lewat. (Sumber: Astro Awani). Justeru, dalam artikel ini, kami kongsikan maksud mandul dan tanda-tanda kemandulan pada wanita dan lelaki.

Apa itu Mandul?

  • Mandul merujuk kepada ketidakmampuan seseorang untuk mendapatkan zuriat walaupun telah melakukan hubungan intim secara berkala. Masalah ini boleh berlaku kepada lelaki atau wanita.
  • Lelaki dianggap mandul jika tidak menghasilkan sperma, atau jika kualiti spermanya lemah dan tidak mampu mensenyawakan ovum. Keadaan ini biasanya berpunca daripada kerosakan kekal pada testis.
  • Wanita pula dianggap mandul jika ovari gagal melepaskan ovum, menyebabkan tiada telur untuk disenyawakan.
  • Walaupun individu mandul masih mempunyai fungsi seksual yang normal, mereka tetap menghadapi kesukaran untuk memperoleh anak.

broken image

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penurunan Kadar Kesuburan di Malaysia

Penurunan kadar kesuburan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi dipengaruhi oleh pelbagai faktor sosioekonomi, termasuk:

1. Peningkatan Taraf Pendidikan Wanita

  • Semakin ramai wanita di Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
  • Pendidikan yang lebih tinggi melahirkan wanita yang lebih berpengetahuan dan berdikari, tetapi juga menyebabkan mereka menangguhkan perkahwinan dan kelahiran anak pertama kerana ingin menyelesaikan pengajian terlebih dahulu.

2. Fokus kepada Kerjaya

  • Peningkatan penyertaan wanita dalam sektor profesional menjadikan ramai wanita fokus kepada membina kerjaya sebelum berkeluarga.
  • Dalam dunia pekerjaan yang kompetitif, ramai wanita memilih untuk mencapai kestabilan kewangan dan pencapaian kerjaya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan untuk berumah tangga atau mempunyai anak.

3. Kos Sara Hidup yang Meningkat

  • Kos membesarkan anak termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan, pakaian dan perumahan semakin mahal.
  • Ramai pasangan muda menangguhkan atau mengehadkan bilangan anak kerana bimbang tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarga yang besar.

4. Gaya Hidup Bandar dan Urbanisasi

  • Kehidupan di bandar sering dikaitkan dengan tekanan kerja, ruang rumah yang kecil, dan kekangan masa, menjadikan ramai individu memilih untuk hidup tanpa anak atau hanya mempunyai seorang anak.

5. Kesedaran Perancangan Keluarga

  • Akses kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan reproduktif membolehkan pasangan merancang jumlah dan jarak kelahiran anak dengan lebih efisien.
  • Walaupun positif dari segi kawalan populasi, ia juga menyumbang kepada pengurangan kadar kesuburan secara keseluruhan.

6. Perubahan Nilai Sosial dan Budaya

  • Generasi muda kini lebih cenderung untuk menilai semula keperluan berumah tangga dan mempunyai anak.
  • Sesetengah individu memilih gaya hidup bebas dan melihat keibubapaan sebagai satu beban tanggungjawab yang berat.

Tanda-tanda Awal Kemandulan dan Ketidaksuburan Wanita Menurut Bidang Perubatan

Berikut ialah tanda ketidaksuburan dan kemandulan dari sudut kesihatan:

  1. Berumur Lebih 35 Tahun
    Wanita berusia 35 tahun ke atas berisiko mengalami penurunan kesuburan kerana ovari mereka semakin kurang berupaya melepaskan telur dan bilangan telur yang sihat juga berkurangan, sekali gus menjejaskan peluang untuk hamil.
  2. Kitaran Haid Tidak Teratur
    Haid yang tidak tetap boleh menandakan gangguan ovulasi, yang mungkin disebabkan oleh keadaan seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), yang mengganggu keseimbangan hormon dan menyukarkan kehamilan.
  3. Mengalami Fibroid Rahim
    Fibroid atau ketumbuhan di rahim boleh mengganggu proses implantasi embrio dan menyebabkan kadar kehamilan yang lebih rendah, selain mencetuskan pendarahan haid tidak normal.
  4. Mempunyai Sejarah Jangkitan Pelvik atau Penyakit Kelamin
    Jangkitan pada organ reproduktif boleh menyebabkan keradangan dan parut pada tiub fallopio, menghalang perjalanan sperma dan telur untuk proses persenyawaan.
  5. Tisu Parut pada Tiub Fallopio
    Parut akibat jangkitan atau pembedahan boleh menyebabkan sumbatan pada tiub fallopio, seterusnya menyukarkan telur untuk sampai ke rahim.
  6. Mengalami Lebih Daripada Dua Keguguran
    Walaupun masih berpeluang untuk hamil selepas dua keguguran, ia mungkin menandakan masalah kesuburan yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar.
  7. Ketidakseimbangan Hormon
    Ketidakseimbangan hormon boleh menjejaskan ovulasi dan kitaran haid, sekali gus mengurangkan peluang untuk hamil secara semula jadi.
  8. Menghidap Sista Ovari (Ovarian Cysts)
    Kehadiran sista di ovari boleh menghalang perkembangan dan pembebasan telur, yang penting untuk proses persenyawaan.
  9. Mempunyai Endometriosis
    Endometriosis boleh menyebabkan keradangan dan tisu parut di kawasan reproduktif, serta menjejaskan kesuburan. Ramai wanita yang didiagnosis dengan endometriosis menghadapi kesukaran untuk hamil.
broken image

Tanda-tanda Awal Kemandulan dan Ketidaksuburan Lelaki

Berikut ialah tanda-tanda lelaki mengalami masalah kemandulan dan ketidaksuburan:

1. Pasangan Lelaki Berusia Lebih 40 Tahun.

Usia lelaki turut memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti sperma. Lelaki berumur 40 tahun ke atas mungkin mengalami penurunan tahap kesuburan yang boleh menghalang kehamilan.

2. Masalah bila ejakulasi. Air mani tidak keluar seperti biasa, atau masuk ke pundi kencing. Ini boleh terjadi sebab ada penyakit seperti kencing manis atau kesan ubat.

3. Masalah hormon.

Kalau hormon dalam badan terganggu, ia boleh menjejaskan penghasilan sperma dan mengganggu kesuburan.

4. Masalah ketika bersama isteri. Contohnya masalah mati pucuk, atau rasa sakit ketika bersama. Ini boleh kurangkan peluang untuk dapat anak.

5. Gaya hidup atau persekitaran. Kerap terdedah kepada panas (seperti duduk atas laptop lama-lama atau pergi sauna), boleh rosakkan sperma.

Jika anda mengalami mana-mana tanda ini, adalah disarankan untuk berjumpa pakar kesuburan bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut. Tindakan awal boleh meningkatkan peluang untuk hamil dan merancang keluarga dengan lebih baik.

Implikasi Penurunan Kesuburan

Penurunan kadar kesuburan secara berterusan boleh membawa kepada penuaan populasi, iaitu peningkatan bilangan warga emas berbanding golongan muda. Ini akan memberi tekanan kepada sistem ekonomi dan sosial negara, termasuk:

  • Kekurangan tenaga kerja muda
  • Peningkatan beban penjagaan kesihatan dan sosial terhadap warga emas
  • Pengurangan pertumbuhan ekonomi jangka panjang
  • Ketidakseimbangan antara generasi bekerja dan yang bersara

Penutup

Situasi ini memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan dan masyarakat. Pelbagai strategi perlu dirangka untuk menggalakkan kesuburan, antaranya melalui insentif kewangan kepada ibu bapa, kemudahan penjagaan anak yang berkualiti, cuti bersalin dan cuti paterniti yang lebih fleksibel, serta mewujudkan persekitaran kerja yang mesra keluarga. Usaha menyeluruh ini penting agar Malaysia dapat mengekalkan struktur demografi yang seimbang dan lestari.

Rujukan dan Sumber:

  1. https://hellosehat.com/kehamilan/kesuburan/mandul/
  2. https://hellodoktor.com/kehamilan/tips-hamil/penjagaan-kehamilan/10-tanda-kemandulan/
  3. https://hellodoktor.com/kehamilan/rancang-kehamilan/cabaran/tidak-subur-masalah-kesuburan-lelaki-wanita/
broken image