
Dalam dunia kuih-muih tradisional Melayu, satu nama yang kekal relevan dan sentiasa menjadi kegemaran ramai ialah Kuih Keria Gula Melaka. Kuih ini bukan sahaja menggamit kenangan zaman dahulu, malah kini kembali popular dan menjadi pilihan utama di media sosial, bazar Ramadan, dan gerai kuih moden. Dengan gabungan keledek yang dilenyek halus, digoreng rangup, dan disalut pula dengan sira gula Melaka yang pekat dan berkilat, kuih ini memang tidak pernah gagal memikat selera. Menariknya, resepi ini sangat mudah disediakan di rumah dan hanya menggunakan bahan asas yang ada di dapur. Jom kita pelajari cara menyediakan Kuih Keria Gula Melaka yang gebu,dan manis lemak.
Latar Belakang Kuih Keria Gula Melaka
Kuih Keria Gula Melaka ialah salah satu kuih tradisional Melayu yang sangat digemari sejak dulu hingga kini. Ia terkenal dengan rasa manis semula jadi daripada keledek yang dilenyek, dibentuk seperti gelang, digoreng keemasan dan kemudian disalut dengan sira gula Melaka yang pekat dan berkilat.
Berbeza dengan kuih keria biasa yang menggunakan gula pasir putih, versi sira gula Melaka ini berasal dari negeri Melaka dan semakin popular di seluruh negara kerana rasa lemak manisnya yang unik, aroma wangi gula Melaka, dan rupa kuih yang tampak eksklusif dengan kilauan semula jadi.
Bukan sekadar enak, kuih ini juga membawa kenangan zaman dulu iaitu sering disediakan ketika minum petang bersama keluarga, atau dijual di pasar pagi dan bazar Ramadan. Kini, dengan pelbagai versi moden dan jualan secara ‘viral’ di media sosial, kuih ini terus mendapat tempat di hati pencinta kuih tradisional dan juga generasi muda.
Resepi Kuih Keria Gula Melaka
Bahan-bahan untuk kuih:
- 2 kg keledek putih (kupas kulit dan potong kecil)
- 1 ½ cawan tepung gandum
- 1 sudu kecil serbuk penaik (double action baking powder) diayak bersama tepung
- Sedikit garam
- Air secukupnya (untuk merebus keledek)
- Minyak masak (untuk menggoreng)
Cara-cara membuat kuih:
- Kupas kulit keledek dan potong kecil.
- Rebus keledek bersama sedikit garam sehingga empuk.
- Toskan air, kemudian lenyek keledek hingga hancur semasa masih panas. Biarkan sejuk.
- Bila dah sejuk, masukkan tepung dan uli hingga jadi doh. Bentuk doh jadi gelang ikut saiz yang anda suka.
- Panaskan minyak, goreng kuih keria guna api sederhana hingga keemasan.
- Angkat dan toskan minyak. Biarkan kuih sejuk sebelum disira dengan gula Melaka.
Bahan-bahan untuk sira gula Melaka:
- 1 ketul (block) gula Melaka
- Sedikit gula batu
- 1 sudu besar gula pasir
- 5 sudu besar air
Cara-cara membuat sira:
- Potong kecil gula Melaka dan gula batu supaya cepat cair.
- Masukkan semua jenis gula dan air ke dalam kuali. Masak hingga gula larut, berbuih, dan agak pekat.
- Masukkan kuih keria yang telah digoreng tadi. Gaul rata supaya semua kuih bersalut dengan gula.
- Tutup api. Guna lidi atau chopstick untuk asingkan kuih agar tidak melekat antara satu sama lain semasa sejuk.
- Kuih keria sedia dihidang!
Tips Tambahan:
- Gunakan keledek putih – kurang air dan tak terlalu manis, sesuai untuk kuih.
- Jangan terlalu banyak tepung – nanti kuih jadi keras.
- Campur gula batu dalam sira – untuk hasil akhir yang berkilat bila sejuk.
Kredit: Mohd Kamal
