Return to site

10 Jenis-jenis Kurma dan Khasiat Kurma Ajwa

AGAMA

· AGAMA
10 Jenis-jenis Kurma dan Khasiat Kurma Ajwa

Selama ini, kebanyakan daripada kita menikmati buah kurma tanpa mengetahui bahawa setiap jenis kurma sebenarnya mempunyai nama, rasa dan keistimewaan tersendiri. Lazimnya, kita hanya mengenali kurma Ajwa, yang sering disebut dalam hadis Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang makan tujuh butir kurma Ajwa pada waktu pagi, maka pada hari itu dia tidak akan terkena racun dan sihir.”
(Riwayat Sahih al-Bukhari)

Dalam artikel ini, kami kongsikan jenis-jenis kurma yang popular di pasaran Malaysia.

Section image

10 Jenis Kurma yang Popular di Pasaran

Namun hakikatnya, terdapat pelbagai jenis kurma yang masing-masing mempunyai ciri dan manfaat yang unik. Berikut adalah 10 jenis kurma yang popular serta khasiatnya:

1. Kurma Ajwa

Kurma Ajwah mempunyai tekstur lembut, sedikit kering, rasa manis sederhana dan sangat halus di mulut. Kurma ini terkenal dengan keistimewaan penyembuhannya.

Rasulullah SAW bersabda:

Barang siapa bersarapan dengan tujuh butir kurma Ajwa, maka dia tidak akan terkena racun dan sihir pada hari itu.” (HR. Bukhari & Muslim)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang menukilkan pandangan Imam al-Khathabi, keistimewaan kurma Ajwa adalah hasil doa keberkatan Rasulullah SAW terhadap kurma Madinah, bukan semata-mata kerana zat buah itu sendiri.

2. Kurma Sukkari

Kurma Sukkari terkenal dengan teksturnya yang rangup dan rasa yang sangat manis. Ia dipercayai membantu menurunkan kolesterol, mencegah kerosakan gigi serta mengurangkan keletihan. Kurma ini banyak dihasilkan di wilayah Al-Qaseem, Arab Saudi.

3. Kurma Anbar

Kurma Anbar bersaiz besar, isi tebal dan biji yang kecil. Ia merupakan antara kurma termahal di Tanah Arab. Rasanya manis, berwarna coklat dan kaya dengan kandungan protein.

4. Kurma Safawi

Kurma Safawi berwarna hitam, berdaging tebal, lembut dan kaya vitamin serta mineral. Ia sangat terkenal di Madinah. Kurma ini dikatakan mempunyai sifat penyembuhan dan dipercayai mampu membantu membunuh cacing perut jika dimakan ketika perut kosong.

5. Kurma Barhi

Kurma Barhi berwarna kuning dan rangup ketika segar. Apabila masak, rasanya menyerupai karamel dan gula merah. Kurma ini sering dijual ketika masih di tangkai dan bersifat bermusim. Untuk jualan sepanjang tahun, ia biasanya disimpan secara sejuk beku. Kurma ini banyak dijumpai di sekitar kawasan Masjid Quba.

6. Kurma Saghai

Kurma Saghai mempunyai tekstur rangup dan ditanam secara meluas di Riyadh. Warnanya coklat dengan hujung kekuningan. Kulitnya agak keras tetapi tidak mengelupas, dan rasanya sangat lazat.

7. Kurma Khudri

Kurma Khudri berwarna coklat gelap, bertekstur kering dan manis, dengan kulit yang berkedut. Ia antara jenis kurma yang paling banyak dieksport kerana tahan lama, segar dan berharga berpatutan. Kurma ini sesuai untuk meningkatkan tenaga harian.

8. Kurma Zahidi

Kurma Zahidi berwarna keemasan, berbentuk bujur dan bertekstur agak keras. Rasanya kurang manis berbanding kurma lain, dengan kulit yang tebal dan separa kering. Kurma ini tinggi kandungan serat dan baik untuk pencernaan.

9. Kurma Medjool

Kurma Medjool dikenali sebagai “Ratu Kurma” kerana saiznya yang besar dan rasanya yang kaya serta manis. Ia sangat popular di Amerika dan sering digunakan dalam penyediaan minuman seperti smoothie dan shake. Kurma ini biasanya tersedia sepanjang tahun.

10. Kurma Kholas

Kurma Kholas mempunyai rasa seperti karamel apabila masak. Teksturnya sedikit melekat ketika segar dan sering dinikmati bersama kopi Arab yang pahit. Kulitnya longgar dan ia berasal dari wilayah Al-Qaseem dan Al-Kharj, Arab Saudi.

Section image

Kisah Asal Usul Buah Kurma Ajwa

Kurma Ajwa merupakan salah satu buah yang memiliki keistimewaan tersendiri. Saiznya sederhana, namun kulitnya penuh kedutan yang unik, dan jika diperhatikan dengan teliti, kedutan tersebut menyerupai kalimah ٱللَّهِ, menandakan keberkatan yang dikurniakan oleh Allah swt.

Kelebihan kurma Ajwa telah disebut oleh Nabi Muhammad sendiri. Baginda sangat menggemari memakan kurma Ajwa dan menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sunnah memakan 7 biji kurma Ajwa pada waktu pagi atau semasa berbuka puasa. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa pada waktu pagi, maka dia akan terlindung daripada racun dan sihir pada hari itu.” (Riwayat Shahih Al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa kurma Ajwa bukan sahaja mengandungi khasiat fizikal, tetapi juga keberkatan kerana ia bersentuhan dengan tangan mulia Rasulullah ﷺ dan ditanam di tanah yang diberkati, iaitu Madinah.

Asal Usul Nama Kurma Ajwa

Kurma ini dinamakan Ajwa berdasarkan peristiwa ‘asbabul wurud’ (sebab-sebab turunnya hadis). Dikisahkan bahawa seorang sahabat bernama Salaman Al-Farisi, yang baru memeluk Islam, telah mewakafkan kebun kurmanya untuk perjuangan Islam. Beliau mempunyai seorang anak perempuan bernama Ajwa, dan bagi mengenang jasa Salaman Al-Farisi, Rasulullah menamakan kurma yang dimakan ketika berbuka puasa itu sebagai Kurma Ajwa. Selain itu, ada riwayat yang menyebut bahawa kurma Ajwa ditanam sendiri oleh Rasulullah saw di kawasan Madinah, berhampiran Masjid Quba, lebih 14 abad yang lalu.

Section image

Keistimewaan Kurma Ajwa

Dikisahkan pada suatu hari, Rasulullah sedang berpuasa dan tiba waktu berbuka, namun tiada makanan tersedia. Malaikat Jibril ‘alayhi al-salam merasa sedih melihat keadaan Baginda, lalu memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar dikurniakan sesuatu untuk berbuka puasa. Allah سبحانه وتعالى memperkenankan doa malaikat, dan keluarlah buah kurma istimewa ini untuk Rasulullah. Selepas iftar, biji kurma tersebut ditanam, dan dari situlah pokok kurma Ajwa tumbuh subur di Madinah.

Menariknya, pokok kurma Ajwa sukar hidup di tempat lain selain Madinah, menjadikan buah ini amat istimewa dan bernilai tinggi. Di Arab Saudi, harganya sekitar 60–80 Riyal per kilogram, manakala di Malaysia, ia boleh mencecah RM80–RM160 per kilogram. Kini, kurma Ajwa juga boleh dinikmati dalam bentuk pati, jus pekat, atau minuman, memudahkan umat Islam meraih keberkatan dan khasiatnya.

Dengan mengamalkan sunnah memakan kurma Ajwa secara teratur, InsyaAllah kita dapat meraih keberkatan dan perlindungan daripada penyakit, racun, dan sihir sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah. Semoga kita sentiasa diberi peluang untuk menikmati buah yang diberkati ini dan memperoleh manfaatnya dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. https://shafiqolbu.wordpress.com/