
Nisfu Syaaban merupakan salah satu malam yang penuh keberkatan dalam kalender Islam, khususnya bagi umat Islam yang sentiasa mendambakan keampunan dan rahmat Allah SWT. Malam pertengahan bulan Syaaban ini sering dikaitkan dengan peluang untuk memperbanyakkan doa, zikir dan muhasabah diri, sebagai persediaan rohani sebelum melangkah ke bulan Ramadan yang mulia. Dalam beberapa riwayat, disebutkan bahawa pada malam inilah Allah SWT melimpahkan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas bertaubat dan membersihkan hati daripada dosa serta permusuhan.
Apakah itu malam nisfu sya'ban?
Malam Nisfu Syaaban ialah daripada perkataan nisfu yang bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu,nisfu syaaban bermaksud separuh daripada Bulan Syaban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat.Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam di mana doa dimakbulkan.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
“Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380]

Tarikh Malam Nisfu Sya'ban Tahun 2026
Malam Nisfu Syaaban 1447H bagi tahun 2026 dijangka bermula pada malam Isnin, 2 Februari 2026, sebaik sahaja masuk waktu Maghrib. Manakala hari Nisfu Syaaban pula jatuh pada Selasa, 3 Februari 2026. Pada malam yang penuh keberkatan ini, umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, zikir serta bacaan Surah Yasin.
Antara amalan yang digalakkan ialah memperbanyakkan doa dan istighfar, membaca Surah Yasin (kebiasaannya sebanyak tiga kali), serta menunaikan puasa sunat pada siang harinya.
Kelebihan bulan Syaaban ialah ia merupakan bulan diangkatnya amalan kepada Allah SWT dan menjadi medan persiapan rohani sebelum menyambut ketibaan bulan Ramadan.

Amalan-Amalan Nisfu Syaaban
Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA, Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT memerhati hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali mereka yang melakukan syirik dan mereka yang saling bermusuhan (Riwayat Ibn Majah, Hadis no. 1380)
Antara amalan yang digalakkan pada malam dan hari Nisfu Syaaban ialah:
- Membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali
- Menunaikan puasa sunat Nisfu Syaaban
- Melaksanakan solat sunat mutlak
- Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW
Moga amalan-amalan ini menjadi sebab keampunan dan keberkatan dalam kehidupan kita, serta sebagai persediaan rohani sebelum menyambut bulan Ramadan

Doa Malam Nisfu Sya'ban

Terjemahan Doa Nisfu Sya'ban
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
اللَّهُمَّ يَا ذَا الْمَنِّ وَلَا يُمَنُّ عَلَيْهِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا ذَا الطَّوْلِ وَالْإِنْعَامِ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، ظَهْرَ اللَّاجِئِينَ، وَجَارَ الْمُسْتَجِيرِينَ، وَأَمَانَ الْخَائِفِينَ.
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَنِي عِنْدَكَ فِي أُمِّ الْكِتَابِ شَقِيًّا أَوْ مَحْرُومًا أَوْ مَطْرُودًا أَوْ مُقَتَّرًا عَلَيَّ فِي الرِّزْقِ، فَامْحُ اللَّهُمَّ بِفَضْلِكَ شَقَاوَتِي وَحِرْمَانِي وَطَرْدِي وَإِقْتَارَ رِزْقِي، وَاثْبِتْنِي عِنْدَكَ فِي أُمِّ الْكِتَابِ سَعِيدًا مَرْزُوقًا مُوَفَّقًا لِلْخَيْرَاتِ.
فَإِنَّكَ قُلْتَ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ فِي كِتَابِكَ الْمُنَزَّلِ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكَ الْمُرْسَلِ:
يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ.
إِلَهِي بِالتَّجَلِّي الْأَعْظَمِ، فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَهْرِ شَعْبَانَ الْمُكَرَّمِ، الَّتِي يُفْرَقُ فِيهَا كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ، وَيُبْرَمُ فِيهَا مَا يُقْضَى وَيُقَدَّرُ، أَنْ تَكْشِفَ عَنَّا مِنَ الْبَلَاءِ مَا نَعْلَمُ وَمَا لَا نَعْلَمُ، وَمَا أَنْتَ بِهِ أَعْلَمُ، إِنَّكَ أَنْتَ الْأَعَزُّ الْأَكْرَمُ.
وصلى الله تعالى على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda.
Ya Allah, wahai Tuhan yang memiliki kurnia dan tidak pernah berkurang, wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Mulia, wahai Tuhan yang memiliki kelebihan dan nikmat yang agung. Tiada Tuhan selain Engkau, tempat bergantung orang-orang yang lemah, pelindung orang-orang yang ketakutan, dan pemberi keamanan kepada mereka yang memohon perlindungan.
Ya Allah, sekiranya Engkau telah mencatatkan aku di sisi-Mu sebagai orang yang celaka, terhalang rezeki, atau sempit kehidupannya, maka dengan kemurahan dan kelebihan-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah, hapuskanlah segala catatan kecelakaan, kesempitan rezeki dan keburukan daripadaku. Tetapkanlah aku sebagai hamba yang berbahagia, diluaskan rezekinya dan diberi taufik untuk melakukan kebaikan.
Sesungguhnya Engkau telah berfirman, dan firman-Mu adalah benar, di dalam Kitab-Mu yang diturunkan melalui lisan Rasul-Mu yang mulia, bahawa Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.
Ya Allah, pada malam Nisfu Syaaban yang mulia ini, malam yang ditentukan segala urusan, kami memohon kepada-Mu agar Engkau mengangkat segala bala dan musibah yang Engkau ketahui sedang menimpa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui, sedangkan kami tidak mengetahui, dan Engkaulah sebaik-baik Penentu.
Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, serta ke atas keluarga dan para sahabat Baginda.
Sebagai umat Islam, Nisfu Syaaban wajar dijadikan medan untuk memperbaharui hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Amalan seperti berdoa, beristighfar, berselawat serta berpuasa sunat bukan sekadar tradisi, bahkan menjadi jalan untuk melembutkan hati dan mendekatkan diri kepada-Nya. Semoga dengan menghidupkan malam Nisfu Syaaban, kita dikurniakan keampunan, dilapangkan rezeki dan dipersiapkan dengan sebaik-baik persiapan rohani untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.
Rujukan:
JAKIM