
Mencari modal tambahan untuk memula atau mengembangkan perniagaan tanpa perlu berulang-alik ke kaunter agensi? Berita baik untuk usahawan mikro, kini permohonan Pembiayaan TEKUN Online boleh dilakukan 100% secara digital. Melalui portal sehenti yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), proses birokrasi kini dipermudahkan demi memacu pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan.
Pembaharuan paling ketara adalah daripada segi tempoh pemprosesan. Bagi permohonan bawah RM100,000, waktu kelulusan dipendekkan daripada 30 hari kepada hanya 7 hari bekerja. Malah, inisiatif terbaharu membolehkan proses pra-kelulusan dana sehingga RM20,000 diselesaikan dalam tempoh 3 jam sahaja. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara mohon TEKUN secara online.
Syarat Kelayakan Asas TEKUN Nasional
Sebelum menghantar permohonan dalam talian, pastikan anda memenuhi kriteria kelayakan asas yang telah ditetapkan:
- Warganegara: Terbuka kepada Bumiputera dan warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 65 tahun.
- Status Kewangan: Pemohon mestilah bukan seorang yang muflis.
- Pendaftaran Perniagaan: Mempunyai lesen, permit, atau pendaftaran perniagaan yang sah (SSM). Bagi usahawan informal, pengesahan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan seperti JPKK atau Penghulu adalah wajib.
- Operasi Syarikat: Terlibat secara langsung dalam perniagaan patuh Syariah, dengan had modal berbayar syarikat tidak melebihi RM300,000.

Dokumen Sokongan Yang Wajib Disediakan
Sediakan dokumen asas dalam bentuk digital (format PDF atau imej jelas) sebelum mengisi borang permohonan:
- Salinan Kad Pengenalan pemohon serta pasangan (jika berkaitan).
- Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau permit perniagaan PBT yang sah.
- Gambar premis atau lokasi aktiviti perniagaan semasa.
- Penyata bank transaksi bagi 3 bulan terkini (akaun simpanan atau semasa).

Langkah Demi Langkah Memohon di Portal TEKUN Online
Proses pendaftaran akaun dan pengisian maklumat boleh diselesaikan menerusi langkah mudah di bawah:
- Pendaftaran Akaun: Layari Sistem Permohonan TEKUN Online (tekunonline.tekun.gov.my) dan klik "Buat akaun baharu". Isi butiran peribadi dan sahkan e-mel anda.
- Log Masuk & Isi Butiran: Log masuk ke dalam sistem, klik "Mohon Pembiayaan", dan lengkapkan maklumat peribadi, maklumat pasangan, serta butiran operasi perniagaan.
- Tetapan Pembiayaan: Masukkan jumlah dana yang diperlukan serta pilih tempoh bayaran balik yang fleksibel (sehingga 5 tahun atau 60 bulan).
- Muat Naik & Hantar: Muat naik semua dokumen sokongan yang diminta, semak semula ketepatan data, dan klik buthan "Hantar". Status permohonan boleh dipantau secara langsung melalui dashboard profil anda.
Inisiatif digital TEKUN Nasional ini terbukti amat membantu menjimatkan masa bagi usahawan informal mendapatkan modal pusingan antara RM1,000 hingga RM5,000, manakala sehingga RM20,000 bagi perniagaan mikro berdaftar.
Baca lagi:
Senarai Jawatan Kosong MySTEP / PSH 2026: Peluang Kerja Terkini awatan Kosong MySTEP / PSH 2026: Peluang Kerja Terkini