
Setiap kali tibanya bulan Muharram, umat Islam di seluruh dunia disarankan untuk memperbanyakkan amalan sunat, terutamanya ibadah puasa. Antara amalan yang sangat digalakkan adalah puasa Asyura, yang dilakukan pada 10 Muharram. Selain itu, terdapat juga puasa Tasu’a (9 Muharram) dan puasa Hadusya (11 Muharram), yang dianjurkan untuk menyempurnakan lagi ibadah ini.
Tarikh-tarikh Puasa Sunat Bulan Muharram
Berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi puasa-puasa bulan Muharram dalam kalendar 1447 Hijrah bersamaan tahun 2025 Masihi:
- Puasa Tasu’a (9 Muharram): 5 Julai 2025 (Sabtu)
- Puasa Asyura (10 Muharram): 6 Julai 2025 (Ahad)
- Puasa Hadusya (11 Muharram): 7 Julai 2025 (Isnin)
- Puasa Hari Putih (13, 14, 15 Muharram): 9, 10, 11 Julai 2025
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang

Mengapa Puasa Asyura Disunatkan?
Puasa Asyura mempunyai sejarah yang istimewa. Berdasarkan hadis sahih, Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari tersebut dan menganjurkan umat Islam supaya turut berpuasa. Ini kerana pada 10 Muharram, Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya daripada ancaman Firaun. Sebagai tanda kesyukuran, Nabi Musa berpuasa, dan Rasulullah SAW mengikuti sunnah tersebut dengan penuh keinsafan.
Galakan Puasa Tasu’a dan Hadusya
Untuk membezakan umat Islam dengan kaum Yahudi yang juga berpuasa pada 10 Muharram, Rasulullah SAW menggalakkan supaya berpuasa sehari sebelum (9 Muharram) atau sehari selepasnya (11 Muharram). Maka lahirlah amalan puasa Tasu’a dan Hadusya yang dilakukan bersama dengan puasa Asyura.
Fadhilat Puasa Asyura
Antara kelebihan besar puasa Asyura adalah sebagaimana disebut dalam hadis sahih:
"Puasa pada hari Asyura, aku mengharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
Walaupun ia hanya sunat, ganjarannya sangat besar. Ia menjadi peluang untuk kita membersihkan diri daripada dosa-dosa kecil yang lalu.

Niat Puasa Tasu'a dan Asyura
- Berikut adalah niat puasa hari Tasu’a (9 Muharram):
نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala
- Berikut adalah niat puasa hari Asyura (10 Muharram):
نويت صوم عشر سنة لله تعالى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Asyura kerana Allah Ta’ala
- Berikut adalah niat puasa hari putih (13, 14, dan 15 Muharram):
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.

