
Kalau anda sedang cari resepi ayam yang mudah, cepat dan sedap, resepi Ayam Madu Air Fryer ini memang wajib cuba! Hanya perlu sediakan bahan perapan ringkas, masukkan dalam air fryer, dan hasilnya? Ayam yang masak cantik, berwarna keemasan, berkilat dengan madu, dan rasa padu sampai menjilat jari! Yang paling best, tak perlu guna minyak banyak atau kotorkan dapur. Sesuai sangat untuk anda yang sibuk atau baru belajar memasak. Dalam artikel ini, kami kongsikan cara masak resepi ayam madu air fryer confirm jadi.
Resepi Ayam Madu Air Fryer
Bahan-Bahan Perapan (Untuk 4–6 Ketul Ayam) adalah seperti berikut:
- 3 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar serbuk rempah kari ayam
- 4 sudu besar madu (boleh tambah sikit kalau suka lebih manis)
- Sedikit serbuk lada hitam (untuk rasa pedas manja)
- 2 sudu besar minyak masak
- 1 sudu besar kicap (menambahkan warna dan rasa)
- 4 ulas bawang putih – ditumbuk halus
- Sedikit halia – ditumbuk
- Garam, gula, dan perasa secukupnya – ikut selera anda (tak perlu banyak sebab sos dah cukup rasa)
Cara-Cara Memasak:
- Satukan semua bahan perapan dalam satu mangkuk besar. Kacau hingga semua bahan sebati dan membentuk pes perapan yang pekat dan harum.
- Toreh ayam sedikit (buat torehan kecil di bahagian peha atau dada). Ini supaya rempah dapat meresap masuk hingga ke dalam isi ayam.
- Gaulkan ayam dengan bahan perapan tadi. Pastikan semua bahagian ayam disalut rata. Lagi banyak disalut, lagi padu rasa!
- Perap ayam sekurang-kurangnya 1 hingga 2 jam. Tapi kalau anda ada masa lebih, boleh perap semalaman dalam peti sejuk untuk rasa yang lebih meresap dan sedap.
- Susun ayam dalam air fryer. Jangan letak terlalu rapat supaya ayam boleh masak sekata.
- Bakar pada suhu 180°C selama 25–30 minit. Waktu mungkin berbeza bergantung pada saiz ketul ayam dan model air fryer anda.
- Balikkan ayam setiap 10–15 minit untuk pastikan ayam masak rata di kedua-dua belah. Ingat, air fryer biasanya panas dari bahagian atas sahaja.
- Bila ayam dah berwarna keemasan, nampak berkilat dan naik bau wangi madu serta rempah, itu tandanya ayam anda dah siap sedia untuk dihidangkan!
Tips Padu Untuk Hasil Terbaik:
- Nak ayam lebih manis dan berkilat? Sapu sedikit madu tambahan pada ayam 1–2 minit sebelum habis dibakar.
- Gunakan bahagian ayam bertulang seperti peha atau drumstick. Daging akan kekal lembap dan juicy, tak mudah kering.
- Kalau suka rasa pedas, boleh tambahkan 1–2 sudu cili kisar dalam bahan perapan.
- Sedia untuk Dihidangkan!
Ayam madu ni sedap dimakan dengan nasi putih panas, nasi lemak, atau dijadikan lauk dalam bekal anak-anak. Kalau nak jadikan hidangan istimewa untuk tetamu pun boleh, sebab rupa dan rasanya memang memikat!
Resepi ini bukan saja mudah, tapi juga boleh dimasak oleh sesiapa saja, sama ada anda baru belajar masak atau dah pakar dalam dapur. Cuba hari ini, anda pasti puas hati!
Kredit: Owner Resepi
