
Kek Batik merupakan pencuci mulut klasik yang sangat popular di Malaysia sejak dahulu lagi. Diperbuat daripada biskut Marie dan campuran coklat manis, kek ini tidak memerlukan proses membakar dan amat digemari kerana rasanya yang lazat serta cara penyediaannya yang mudah.
Seiring dengan trend pencuci mulut moden, kek batik kini mengalami pelbagai inovasi. Salah satu versi yang viral dan mendapat tempat di hati peminat kek coklat ialah Kek Batik Indulgence Melting. Ia bukan sahaja mengekalkan rasa asli kek batik tradisional, malah ditambah dengan lapisan krim indulgence berasaskan cream cheese dan disalut dengan ganache coklat yang meleleh, menjadikannya lebih mewah dan memikat.
Gabungan rasa coklat pekat, keju berkrim dan tekstur biskut yang lembut tetapi padat, menjadikan kek ini pilihan ideal untuk jamuan, hari istimewa atau sebagai sajian pencuci mulut untuk keluarga. Resepi ini juga sangat sesuai untuk mereka yang baru belajar membuat kek kerana tidak melibatkan penggunaan oven. Dalam artikel ini, kami kongsikan resepi kek batik indulgence melting.
Resepi Kek Batik Indulgence Melting
Bahan-bahan Kek Batik:
- 600g biskut Marie (dipatah-patahkan)
- 200g mentega (butter)
- 1 cawan Milo
- 1 cawan susu pekat
- ½ cawan serbuk koko
- ½ cawan air masak
- 2 biji telur
- Sedikit esen vanila
Bahan Topping (Ganache Coklat):
- 200g coklat milk compound (contoh: Beryl’s)
- 200ml whipping cream
- 1 sudu besar mentega (pilihan, boleh letak atau tidak)
Cara buat:
Cairkan semua bahan ganache secara double boil atau panaskan dalam microwave. Kacau hingga sebati, kemudian biarkan sejuk sebentar.
Bahan Lapisan Indulgence (Krim):
- 250g cream cheese
- 2 cawan whipping cream
Cara buat:
Pukul cream cheese bersama whipping cream hingga gebu dan berkrim.
Cara Penyediaan Kek Batik:
- Cairkan mentega guna api kecil.
- Masukkan susu pekat dan kacau rata.
- Masukkan Milo dan serbuk koko. Kacau cepat supaya tidak berketul.
- Tambah telur dan kacau hingga sebati.
- Masukkan air masak dan sedikit esen vanila. Gaul hingga semua bahan bercampur rata.
- Masukkan biskut Marie yang telah dipatahkan. Gaul rata hingga semua biskut bersalut coklat.
- Tuangkan campuran ke dalam loyang bersaiz 10 inci. Alas loyang dengan plastik atau baking paper supaya senang dikeluarkan. Tekan-tekan supaya padat.
- Sapu lapisan indulgence cream di atas kek batik tadi. Ratakan.
- Sejukkan seketika dalam peti ais.
- Setelah sejuk, tuang ganache coklat di atasnya. Ratakan dan simpan dalam peti sejuk (chiller) sekurang-kurangnya 4 jam atau semalaman.
Cara Potong Kek (Supaya Cantik):
- Gunakan pisau yang dicelup dalam air panas atau lap dengan tisu setiap kali memotong.
- Ini membantu hasil potongan yang kemas dan licin.



Kredit: Owner resepi
Selamat Mencuba.