
Bulan Zulhijjah merupakan antara bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, khususnya bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji dan juga bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban. Sepuluh hari pertama Zulhijjah dianggap sebagai hari yang paling baik dalam setahun.
Sabda Rasulullah:
أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ
“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”
Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.
Kata beliau:
أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]
Dalam artikel ini, kami kongsikan tarikh-tarikh penting dalam bulan Zulhijjah 1446H.
Apakah Itu Bulan Zulhijjah?
Bulan Zulhijjah adalah salah satu bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Ia merupakan bulan ke-12 dan terakhir dalam tahun Hijriah, serta mempunyai pelbagai kelebihan dan keutamaan yang tidak terdapat dalam bulan-bulan lain. Dalam bulan inilah umat Islam diberi peluang istimewa untuk melipatgandakan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah haji, korban, puasa sunat dan pelbagai amalan soleh lain.

Kelebihan Bulan Zulhijjah
1. Hari-Hari yang Diberkati
- Sepuluh Hari Pertama Zulhijjah
Sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah merupakan antara hari yang paling diberkati dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan amalan soleh melainkan hari-hari ini." (Riwayat al-Bukhari) - Amalan seperti solat, puasa, membaca Al-Quran, bersedekah dan berzikir amat digalakkan dalam tempoh ini kerana ganjarannya sangat besar.
- Hari Arafah – 9 Zulhijjah
Hari Arafah adalah kemuncak kepada 10 hari pertama Zulhijjah. Pada hari ini, jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk berwukuf – iaitu salah satu rukun penting dalam ibadah haji.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, disunatkan berpuasa pada Hari Arafah kerana ganjarannya yang besar. Rasulullah SAW bersabda:
"Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya." (Riwayat Muslim)
2. Ibadah Haji
- Bulan Zulhijjah juga dikenali sebagai bulan pelaksanaan ibadah haji, rukun Islam kelima yang wajib bagi mereka yang mampu. Hanya dalam bulan inilah ibadah haji boleh dilaksanakan, dan ia merupakan lambang ketaatan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Ganjaran bagi mereka yang menunaikan haji mabrur adalah syurga.
3. Hari Raya Aidiladha – 10 Zulhijjah
- Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ia memperingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s. sebagai tanda kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Hari raya ini adalah salah satu daripada dua hari raya utama dalam Islam.
4. Amalan Qurban
- Pada hari yang sama, umat Islam disunatkan untuk melaksanakan ibadah qurban dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, atau unta. Daging qurban ini kemudiannya diagihkan kepada keluarga, jiran tetangga, serta golongan fakir miskin sebagai simbol kesyukuran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan.
5. Peluang Besar untuk Beribadah & Berdoa
Bulan Zulhijjah, terutama sepuluh hari pertamanya, adalah masa yang sangat sesuai untuk memperbanyakkan:
- Solat sunat
- Puasa sunat
- Membaca Al-Quran
- Berzikir (takbir, tahlil, tahmid, tasbih)
- Bersedekah dan membantu orang lain
- Doa yang Mustajab
Hari-hari dalam bulan ini, terutamanya Hari Arafah, adalah waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. Umat Islam digalakkan untuk berdoa bersungguh-sungguh, memohon keampunan, rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.
Tarikh-tarikh Penting dalam Bulan Zulhijjah 1446H
Berikut adalah tarikh-tarikh penting dalam bulan Zulhijjah tahun ini yang patut diberi perhatian oleh setiap Muslim:
TARIKH PENTING 1-10 ZULHIJJAH :
- 1 Zulhijjah = Khamis, 29 Mei 2025
- 2 Zulhijjah = Jumaat, 30 Mei 2025
- 3 Zulhijjah = Sabtu, 31 Mei 2025
- 4 Zulhijjah = Ahad, 1 Jun 2025
- 5 Zulhijjah = Isnin, 2 Jun 2025
- 6 Zulhijjah = Selasa, 3 Jun 2025
- 7 Zulhijjah = Rabu, 4 Jun 2025
- 8 Zulhijjah = Khamis, 5 Jun 2025
- 9 Zulhijjah = Jumaat, 6 Jun 2025 (Hari Arafah)
- 10 Zulhijjah = Sabtu, 7 Jun 2025 (Hari Raya Aidiladha)
- 11-13 Zulhijjah = 8 – 10 Jun 2025 (Hari Tasyrik – diiharamkan berpuasa)

1. Hari Terakhir Untuk Mencukur & Memotong Kuku Bagi Peserta Korban
- 30 Zulkaedah 1446H (28 Mei 2025)
Bagi mereka yang berniat untuk melaksanakan ibadah korban, disunatkan untuk tidak mencukur rambut dan memotong kuku bermula dari 1 Zulhijjah sehingga haiwan korban disembelih. Oleh itu, 30 Zulkaedah adalah hari terakhir untuk memotong kuku dan mencukur rambut sebagai persediaan menyambut Zulhijjah.
2. Permulaan Puasa Sunat Zulhijjah
- 1-8 Zulhijjah 1446H (29 Mei – 5 Jun 2025)
Berpuasa pada 8 hari pertama bulan Zulhijjah sangat digalakkan. Ini merupakan amalan yang besar ganjarannya, sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW:
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah untuk seseorang itu melakukan amalan soleh melainkan hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” (Riwayat al-Bukhari)
3. Puasa Sunat Hari Arafah
- 9 Zulhijjah 1446H (6 Jun 2025)
Puasa pada hari Arafah adalah sunat muakkad bagi mereka yang tidak menunaikan haji. Ia merupakan peluang keemasan untuk mendapatkan keampunan dosa selama dua tahun; setahun yang lalu dan setahun akan datang.
"Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa tahun sebelumnya dan tahun sesudahnya." (Riwayat Muslim)
4. Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah)
- 10 Zulhijjah 1446H (7 Jun 2025)
Hari Raya Aidiladha adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang berkorban demi ketaatan kepada Allah. Ia juga memperingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Solat sunat Aidiladha disyariatkan pada pagi hari ini, diikuti dengan penyembelihan haiwan korban.
5. Hari-Hari Tasyrik
- 11-13 Zulhijjah 1446H (8-10 Jun 2025)
Hari-hari Tasyrik adalah hari untuk memperbanyakkan takbir, zikir, dan juga penyempurnaan ibadah korban. Ia juga merupakan hari untuk bergembira dan mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT. Dilarang berpuasa pada hari-hari ini kerana ia adalah hari makan dan minum serta mengingati Allah.
Kesimpulan
Marilah kita semua memanfaatkan sepenuhnya hari-hari mulia dalam bulan Zulhijjah ini dengan memperbanyakkan amal soleh, berzikir, berpuasa, serta melaksanakan ibadah korban. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah SWT dan menjadi bekalan di akhirat kelak.