Return to site

Bulan Syaaban: Peristiwa, Amalan dan Doa yang Dianjurkan

AGAMA

· AGAMA
Bulan Syaaban: Peristiwa, Amalan dan Doa yang Dianjurkan

Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang mulia dalam kalendar Islam dan menjadi penghubung antara bulan Rejab dan Ramadan. Walaupun sering dianggap sebagai bulan persediaan, Syaaban sebenarnya sarat dengan peristiwa penting, kelebihan serta amalan yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Pada bulan inilah pintu keampunan Allah terbuka luas, doa-doa diangkat, dan amalan dicatat sebelum memasuki bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Oleh itu, memahami peristiwa, amalan sunnah dan doa yang dianjurkan dalam bulan Syaaban amat penting agar umat Islam dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin sebagai persiapan rohani dan jiwa.

Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari”.(H.R Ibnu Majah) (Kanzul Ulum al-Jami’ lilahkami al-Syari’yyah fi al-Fiqhi al-Syafie: ms 215).

Doa Bulan Sya‘ban

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW berdoa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ
وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya:
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikanlah kami (pertemukan kami) dengan bulan Ramadan.” (Musnad Imam Ahmad, No. Hadith 2228)

Section image

5 Amalan Utama Dalam Bulan Sya‘ban

Bulan Sya‘ban merupakan bulan persediaan rohani sebelum kedatangan Ramadan. Ia adalah bulan yang sering dilalaikan, sedangkan di dalamnya amalan-amalan diangkat kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh agar hati dan jiwa bersedia menyambut Ramadan.

1. Memperbanyakkan Puasa Sunat

Rasulullah SAW sangat banyak berpuasa dalam bulan Sya‘ban. Puasa sunat pada bulan ini melatih diri untuk istiqamah, menundukkan nafsu serta mempersiapkan tubuh dan jiwa sebelum memasuki Ramadan. Antara yang dianjurkan ialah puasa Isnin dan Khamis serta puasa pertengahan bulan.

2. Konsisten Solat Malam (Qiamullail)

Solat malam merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam bulan Sya‘ban, memperbanyakkan qiamullail walaupun dengan rakaat yang sedikit dapat melembutkan hati, menguatkan keimanan dan menjadi latihan sebelum solat tarawih di bulan Ramadan.

3. Memperbanyakkan Doa dan Zikir

Bulan Sya‘ban adalah masa yang sangat baik untuk memperbanyakkan doa, memohon keampunan dan bermuhasabah diri. Zikir yang berterusan membantu menenangkan jiwa, membersihkan hati daripada sifat lalai dan menguatkan hubungan seorang hamba dengan Penciptanya.

4. Memperbanyakkan Membaca Al-Quran

Sya‘ban juga dikenali sebagai bulan pembuka kepada Ramadan, bulan Al-Quran. Membiasakan diri membaca Al-Quran dalam bulan ini akan memudahkan kita untuk lebih istiqamah membaca dan mentadabbur Al-Quran apabila masuknya Ramadan kelak.

5. Memperbanyakkan Bersedekah

Sede

kah dalam bulan Sya‘ban sangat digalakkan kerana ia menyucikan harta dan menumbuhkan sifat kasih sayang. Amalan ini juga melatih diri untuk lebih pemurah dan prihatin terhadap keperluan orang lain, selari dengan semangat Ramadan yang bakal tiba.

Rasulullah SAW bersabda bahawa amalan tahunan diangkat kepada Allah SWT dalam bulan Sya‘ban, manakala amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis. Oleh itu, marilah kita menghidupkan bulan Sya‘ban dengan amalan-amalan soleh agar amalan kita diangkat dalam keadaan yang diredai Allah SWT.

“Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT; amalan tahunan diangkat pada bulan Sya‘ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis.” (Sunan Abu Daud, 12:313)

Section image

4 Peristiwa Penting Dalam Bulan Sya‘ban

1. Perubahan Arah Kiblat

Kiblat umat Islam telah dipindahkan daripada Baitulmaqdis ke Kaabah. Menurut para ulama, umat Islam menghadap ke arah Baitulmaqdis selama kira-kira 17 bulan 3 hari. Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, Allah SWT kemudian memerintahkan Baginda menghadap ke Kaabah pada hari Isnin, pertengahan bulan Sya‘ban, ketika Baginda sedang menunaikan solat Zuhur.

2. Malam Nisfu Sya‘ban

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, daripada Mu‘adz bin Jabal r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila tiba malam Nisfu Sya‘ban, Allah SWT memandang semua hamba-Nya dan memberikan keampunan kepada orang-orang beriman, kecuali mereka yang mensyirikkan Allah dan mereka yang bermusuhan. (Riwayat Thabrani)

3. Turunnya Ayat Berselawat

Allah SWT menurunkan ayat yang memerintahkan umat Islam agar berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(Surah al-Ahzab: 56)

4. Penyerahan Buku Amalan Tahunan

Daripada Usamah bin Zaid r.a., beliau bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda banyak berpuasa dalam bulan Sya‘ban. Rasulullah SAW bersabda bahawa Sya‘ban adalah bulan yang sering dilalaikan manusia, iaitu antara Rejab dan Ramadan. Dalam bulan ini, amalan-amalan diangkat kepada Allah SWT, dan Baginda menyukai amalannya diangkat dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. (Riwayat an-Nasa’i)

Section image

Rujukan:

  1. JAKIM
  2. yayasanmaghfirah.com