
Ramai individu tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti virus HIV kerana tanda-tanda awalnya sering kali ringan, tidak ketara, atau disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa. Disebabkan itu, ramai pesakit hanya mengetahui status HIV mereka apabila jangkitan telah berada di tahap yang lebih serius. Mengesan gejala awal HIV adalah sangat penting bagi membolehkan rawatan awal dimulakan dan mencegah penularan kepada orang lain. Justeru, kesedaran terhadap tanda-tanda awal HIV perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat. Dalam artikel ini, kami kongsikan tanda-tanda awal penyakit HIV.
Apakah itu HIV dan AIDS?
- HIV adalah sejenis virus, manakala AIDS pula merupakan satu keadaan yang berlaku akibat jangkitan virus tersebut.
- HIV merupakan singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus, iaitu virus yang hanya menjangkiti manusia dan menyerang sistem imun tubuh. Akibatnya, keupayaan sistem imun untuk melawan jangkitan menjadi semakin lemah dan tidak berfungsi dengan berkesan seperti biasa.
- AIDS pula ialah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome. Ia merujuk kepada tahap lanjut jangkitan HIV yang berlaku selepas tempoh jangkitan yang panjang. Pada peringkat ini, sistem imun pesakit menjadi sangat lemah.
- Pesakit yang menghidap AIDS berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jangkitan serius seperti tuberkulosis, pneumonia, beberapa jenis kanser, dan jangkitan oportunistik lain yang mudah menyerang tubuh.
- Seseorang juga boleh dijangkiti HIV, tanpa memiliki AIDS mungkin kerana sistem imun seseorang kuat untuk melambatkan penyakit AIDS.
15 Tanda-Tanda Awal HIV Positif yang Ramai Tidak Sedar
HIV/AIDS merupakan salah satu penyakit yang paling ditakuti oleh ramai orang. Namun, ramai individu hanya menyedari mereka dijangkiti HIV apabila gejalanya sudah menjadi semakin serius. Hakikatnya, tanda-tanda awal HIV boleh dikesan lebih awal jika diberi perhatian.
Walaupun simptom awalnya mungkin kelihatan ringan dan tidak jelas, penting untuk kita mengetahui status kesihatan diri. Berikut ialah 15 tanda-tanda HIV yang sering tidak disedari oleh ramai orang:
1. Selesema Ringan
Pada peringkat awal jangkitan, sesetengah pesakit melaporkan mengalami simptom seperti selesema ringan, termasuk demam dan sakit kepala. Gejala ini biasanya hilang selepas beberapa minggu, tetapi dalam kes tertentu, ia hanya muncul selepas bertahun-tahun.
2. Kelenjar Bengkak
Kelenjar limfa berfungsi menapis patogen dan menyimpan sel imun. Apabila HIV menyerang sistem imun, kelenjar ini akan membengkak, tanda bahawa tubuh sedang melawan jangkitan.
3. Ruam dan Luka pada Kulit
Ruam pada kulit, mulut, alat kelamin atau dubur merupakan salah satu gejala yang biasa berlaku. Jika anda mengalami ruam yang tidak biasa, segera dapatkan pemeriksaan lanjut.
4. Mudah Dijangkiti Virus Lain
HIV melemahkan sistem imun, menjadikan tubuh lebih mudah dijangkiti penyakit lain seperti pneumonia, tuberkulosis dan jangkitan yis (kandidiasis), terutamanya di mulut atau alat sulit.
5. Demam Berpanjangan dan Berpeluh Malam
Demam ringan yang berpanjangan tanpa sebab jelas serta berpeluh pada waktu malam adalah antara petanda awal HIV yang sering diabaikan.
6. Perubahan Kitaran Haid
Bagi wanita, perubahan pada haid seperti aliran yang terlalu banyak, terlalu sedikit atau haid tidak datang langsung boleh menjadi petanda awal HIV.
7. Penyakit Radang
Wanita yang dijangkiti HIV juga mungkin mengalami radang pada organ pembiakan seperti rahim atau saluran fallopio.
8. Cepat Penat
Kepenatan yang berterusan walaupun sudah cukup tidur dan rehat boleh menandakan gangguan pada sistem badan, termasuk akibat jangkitan HIV.
9. Sakit Kepala Berterusan
HIV boleh menyebabkan sakit kepala yang berpanjangan dan melemahkan tubuh.
10. Mual dan Sembelit
Kehilangan selera makan akibat mual, serta gangguan pada sistem penghadaman seperti sembelit juga antara gejala yang mungkin dialami.

11. Perubahan Warna atau Tekstur Kuku
Jangkitan HIV boleh menjejaskan kuku, menyebabkan perubahan warna, penebalan atau kerapuhan kuku.
12. Lendiran Abnormal di Alat Sulit
Kemunculan lendir luar biasa pada alat kelamin boleh menjadi tanda jangkitan sekunder akibat HIV, seperti herpes atau luka yang teruk.
13. Kebas dan Kesemutan di Tangan atau Kaki
Sesetengah pesakit mengalami rasa kebas atau kesemutan seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan dan kaki, menandakan sistem saraf mula terjejas.
14. Mudah Lupa dan Rasa Bingung
HIV juga boleh menjejaskan otak, menyebabkan masalah kognitif seperti mudah lupa, keliru atau demensia ringan.
15. Penurunan Berat Badan Mendadak
Berat badan boleh turun secara drastik akibat kehilangan selera makan, cirit-birit atau gangguan pencernaan yang berterusan.

Tanda-tanda Penyakit Mulut di Kalangan Pesakit HIV
1. Kandidiasis (Jangkitan Yis)
a. Kandidiasis pseudomembranous (‘Thrush’)
- Muncul sebagai plak putih yang boleh dikikis.
- Meninggalkan permukaan merah atau berdarah selepas dikikis.
b. Kandidiasis erythematosus
- Bengkak merah rata pelbagai saiz.
- Lazimnya berlaku pada lelangit keras atau lembut.
c. Angular cheilitis
- Bengkak kemerahan atau rekahan pada sudut mulut.
- Berlaku pada satu atau kedua-dua belah mulut.
2. Penyakit Periodontal
a. Linear Gingival Erythema (LGE)
- Jalur merah 1–3 mm di sepanjang gusi.
- Kadangkala disertai pendarahan dan rasa tidak selesa.
- Selalunya bermula di gigi hadapan, kemudian merebak ke gigi belakang.
b. Nekrotizing Ulcerative Periodontitis (NUP)
- Gusi sakit, berdarah secara spontan, dan sering memburuk dengan cepat.
3. Virus Herpes Simplex (HSV)
- Vesikel (gelembung kecil) yang pecah membentuk ulser tidak sekata dan menyakitkan.
- Berlaku di lelangit keras, gusi atau bibir.
- Biasanya disertai demam, sakit dan hilang selera makan.
4. Oral Hairy Leukoplakia
- Bengkak putih berbulu di sisi lidah.
- Tidak boleh dikikis dan tidak menyakitkan.
- Boleh berlaku di satu atau kedua-dua sisi lidah, kadang-kadang di pipi dan bibir bawah.
5. Karposi Sarcoma
- Bengkak berwarna merah keunguan, rata atau berbentuk nodul.
- Awalnya rata, kemudian menjadi lebih gelap dan menonjol apabila matang.
- Sering muncul di lelangit keras, gusi dan lidah.


Mengenal pasti tanda-tanda awal HIV sangat penting untuk mendapatkan rawatan awal dan mencegah penyebaran. Jika anda mengalami beberapa gejala di atas, segera lakukan pemeriksaan kesihatan di klinik dan hospital terdekat.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia & TheAsianParent Malaysia